PKPD dilaksanakan di UTM Skudai

0
76
UTM Skudai

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor berkuatkuasa 21 Mei sehingga 3 Jun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil susulan 49 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 346 ujian saringan yang dijalankan.

“Saringan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melibatkan penghuni Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej 9 dan Kolej 10 serta Pusat Kesihatan.

“KKM juga melaporkan kadar positif yang tinggi iaitu 14.2 peratus serta taburan kes positif serta kontak rapat telah menular di beberapa kolej lain.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sebanyak 78,260 pemeriksaan dilakukan oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyaksikan 513 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

“Lain-lain kesalahan merupakan kategori kesalahan paling tinggi direkodkan, diikuti tidak memakai pelitup muka (185), gagal merekod butiran diri sebelum masuk premis (105), tiada penjarakan fizikal (79) dan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (57).

“Daripada jumlah itu, seramai 484 individu dikompaun manakala 29 lagi direman.

“Seramai 4,040 pasukan pematuhan melibatkan 16,007 anggota telah membuat pemantauan di 4,345 pasar raya, restoran (5,116), kilang (2,421), bank (3,942), pejabat kerajaan (981) dan penjaja (2,153).

“Turut dipantau ialah pasar awam dan pasar tani (1,790), tempat ibadah (3,011), tempat riadah (1,693), terminal pengangkutan darat (2,616), terminal pengangkutan air (393) dan terminal pengangkutan udara (140),” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here