Polis giat kesan sekumpulan individu pukul warga asing

0
351
Rakaman video yang tular semalam menunjukkan seorang lelaki warga asing dipukul sekumpulan individu

KAJANG – Polis sedang mengesan sekumpulan individu memukul seorang lelaki warga asing selepas satu rakaman video kejadian berkenaan tular di media sosial semalam

Difahamkan, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di kaki lima premis kedai di No. 28, Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan dimulakan selepas rakaman video yang tular itu sampai ke pengetahuan pasukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Siasatan awal dijalankan selepas mempercayai tempat kejadian itu berlaku di bawah kawasan pentadbiran IPD Kajang.

“Hasil siasatan awal, seorang lelaki dipercayai warga asing dipukul sekumpulan lelaki dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa orang pengikutnya yang belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya lagi, perlakuan suspek adalah satu tindakan yang mengganggu gugat serta mendatangkan kekacauan kepada ketenteraman awam berikutan kejadian itu berlaku di kawasan awam terbuka.

“Hasil penelitian ke atas video ini juga mendapati, kumpulan suspek itu melanggar beberapa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Sehubungan itu, IPD Kajang membuat laporan polis berhubung kejadian ini bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (merusuh) dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan / 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana Balai Polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 019-665 5811.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan sekumpulan lima hingga enam lelaki mengepung dan menyoal seorang lelaki dipercayai warga asing di hadapan sebuah premis kedai.

Beberapa posting di Facebook mendakwa kejadian itu didalangi kumpulan suspek terdiri daripada pengerusi dan pengikut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang marah dengan suspek kerana didakwa menjual baju cetak rompak NGO terbabit.

Dalam perkembangan sama, Yusof Azmi dalam satu klip video di laman Facebooknya awal pagi ini menafikan bahawa beliau diburu, sebalik beliau telah dihubungi oleh polis untuk diambil keterangan berhubung kejadian berkenaan.

“Saya difahamkan tular polis IPD Kajang sedang memburu saya dan Abang Ali, saya rasa berita itu tidak tepat…Sebab saya dihubungi untuk ambil rakaman percakapan dan saya ketika ini dalam perjalanan ke IPD Kajang untuk berikan kerjasama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here