Polis jejak lelaki positif Covid-19 lari dari wad

0
117
Hospital Lama Sungai Petani, Kedah di mana seorang pesakit yang disahkan positif Covid-19 melarikan diri. Gambar kecil – Adzli Abu Shah.

CYBERJAYA – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disahkan pesakit Covid-19 yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Lama Sungai Petani, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 39 tahun yang dikenal pasti sebagai Azizi Sarip, 39, menghilangkan diri setelah enam hari menerima rawatan.

“Polis kini sedang giat mengesan lelaki terbabit sejak dilaporkan menghilangkan diri dan tiada di katilnya di wad B1.

“Hasil maklumat pesakit lain memaklumkan lelaki itu telah membawa beg dan barangan peribadinya keluar pada jam 6.30 pagi,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit sebelum ini hadir untuk mendapatkan rawatan di hospital sama bagi tujuan pembedahan kecil pada tangannya ekoran bernanah pada Khamis lalu.

“Saringan Covid-19 dilakukan ke atas pesakit sebagai prosedur hospital dan dimasukkan ke pusat kuarantin di wad B1 Hospital Lama Sungai Petani setelah keputusan swab positif diperoleh pada Jumaat lalu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang mengenal pasti punca jangkitan kontak rapat lelaki itu di mana kes itu masih disiasat,” katanya.

Katanya, satu pasukan khas digerakkan untuk mengesan lelaki terbabit di rumahnya di Taman Bandar Baru Sungai Lalang namun, tiada di rumah.

Katanya, KKM juga telah dimaklumkan untuk mengesan lelaki terbabit.

Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 11(3)(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here