Prasarana cari mangsa insiden untuk urusan sumbangan

0
27
Mangsa kemalangan dua LRT dari arah Gombak dan Kelana Jaya bertembung di Stesen LRT KLCC baru-baru ini. Gambar: Farid Janudin

CYBERJAYA – Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) meminta 83 penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) yang terlibat dalam insiden pertembungan tren baru-baru ini tampil untuk urusan pemberian sumbangan.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Norlia Noah berkata, setakat ini pihaknya hanya dapat mengenal pasti 130 penumpang yang mana hanya 111 daripadanya mempunyai butiran lengkap

Katanya, Prasarana masih cuba mendapatkan maklumat mangsa lain untuk urusan pemberian sumbangan ihsan seperti diumumkan sebelum ini.

“Prasarana akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada para penumpang yang terlibat dalam insiden berkenaan.

“Jumlah bayaran dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran tentang penumpang dapat dilengkapi.

“Saluran khas di talian 014 737 1330 dan e-mel: recovery2021@prasarana.com.my telah dilancarkan khusus untuk komunikasi secara langsung dengan para penumpang yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, terdapat juga 12 warga asing dari Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh dan Timur Tengah terlibat dalam insiden itu dan pihaknya sudah menghubungi kedutaan negara-negara berkenaan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang kami khususnya atas insiden yang tidak diingini ini.

“Kami amat dukacita dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod baik LRT Laluan Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun.

“Saya juga memohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini. Kami akan terus berkongsi maklumat terkini tentang semua perkembangan insiden ini,” ujar beliau.

Ia termasuklah maklumat mengenai mereka yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, status pengesanan penumpang serta proses pemulihan sepenuhnya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

Sementara itu katanya, daripada 67 orang yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur, 62 penumpang telah dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan.

Manakala, lima penumpang masih berada di hospital sementara tiga individu ditempatkan di wad biasa dan dijangka dibenarkan keluar dalam tempoh dua ke tujuh hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here