Rejim Zionis lancar serangan balas ke arah Lubnan, tiada kecederaan dilaporkan

0
601
Gambar fail. Serangan artileri Israel ke arah Gaza minggu lalu

BAITULMAQDIS – Rejim Zionis semalam melancarkan serangan artileri ke arah Lubnan sebagai tindak balas serangan roket yang datang dari negara itu.

Menurut media tempatan, bagaimanapun enam cubaan serangan dari arah Lubnan itu gagal melintasi sempadan Israel.

“Berikutan serangan itu, siren kecemasan dibunyikan lewat malam semalam di Upper Galilee, Israel yang terletak berhampiran sempadan Lubnan. Ia selepas penduduk di kawasan Misgav Am dan Metulla mendengar bunyi letupan kuat.

“Enam roket dipercayai dilancarkan dari Rashaya Al Foukhar iaitu di bahagian utara Kfar Choub, selatan Lubnan. Bagaimanapun semua roket berkenaan jatuh di bahagian wilayah Lubnan,” menurut jurucakap tentera pertahanan Israel (IDF).

Dalam pada itu, sumber tentera Lubnan memberitahu AFP, tiga roket jenis Grad itu dibedil dari Shebaa Farms di selatan Lubnan yang terletak berhampiran sempadan Israel.

Tunjuk perasaan terhadap serangan udara Israel yang menyasarkan pejuang bersenjata Palestin di Semenanjung Gaza berlaku di selatan Lubnan, lokasi kubu seteru Israel, Hizbullah.

Lebih 200 orang terkorban dalam berbalas serangan antara pejuang Hamas dan rejim zionis di Semenanjung Gaza.

Israel melancarkan serangan udara semalam, sebagai tindak balas terhadap bedilan roket Hamas ke Baitulmaqdis susulan keganasan polis di pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Penunjuk perasaan Lubnan dan anggota Hizbullah, terbunuh dalam serangan Israel minggu lalu, ketika demonstrasi di sempadan negara itu.

Media kerajaan Lubnan berkata, ia berikutan sekumpulan penunjuk perasaan golongan muda cuba melintasi sempadan di utara Metula.

Sumber ketenteraan Lubnan berkata, tiga roket dibedil dari selatan negara itu, berhampiran kem pelarian Palestin Rashidiyeh ke arah Israel, Khamis lalu, manakala rejim zionis menjelaskan roket berkenaan mendarat di laut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here