Rentas negeri: Polis akan panggil Neelofa, PU Riz

0
182
Gambar tular di media sosial yang mendakwa pasangan itu merentas negeri ke Nilai Negeri Sembilan

SEREMBAN – Polis akan memanggil selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd. Nor dan suaminya, Haris Ismail ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dekat sini bagi diambil keterangan berhubung melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri ke negeri itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, hari ini pihaknya telah menjalankan siasatan berkaitan penularan gambar dan video Neelofa dan suami dalam media sosial dipercayai ketika berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai dekat sini.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersayarat) (No.4) 2021 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak yang terlibat akan dipanggil ke IPD Nilai, Negeri Sembilan untuk memberikan keterangan dalam masa terdekat dan kertas siasatan akan dirujuk ke Kamar Timbalan Pendakwa Raya setelah selesai siasatan.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam pasangan selebriti itu sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila tular video dan gambar mereka ketika berada di sebuah kedai karpet yang dipercayai berlokasi di Nilai sebelum bertindak memadamkannya.

Sebelum ini, pasangan tersebut terpalit dengan kontroversi merentas negeri ke Langkawi, Kedah dan majlis pernikahan yang tidak mengikut SOP ditetapkan.

Berikutan kesalahan itu, pasangan itu dikompaun sebanyak RM30,000.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here