Saarani nafi PKP penuh akan dilaksanakan di Perak

0
68
Bendera Negeri Perak

IPOH –  Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menafikan dakwaan kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh akan dilaksanakan di Perak bermula Jumaat ini.

Saarani dalam sidang akhbar secara maya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco memaklumkan, kerajaan belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai perkara itu.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa siri mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau atau Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, yang membincangkan beberapa kemungkinan untuk mengawal penularan Covid-19, namun belum ada sebarang keputusan muktamad.

“Saya berharap tiada pihak yang menyalahgunakan media sosial untuk mengeluarkan kenyataan terlebih dahulu daripada kerajaan negeri.

“Insya-Allah bila kita buat keputusan, maka kerajaan negeri akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan tersebut,” katanya.

Beliau berharap rakyat Perak akan menyokong apa juga keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri kerana ia demi kebaikan bersama.

Menurutnya, pada petang ini, beliau sekali lagi akan mempengerusikan mesyuarat untuk memperhalusi tindakan yang perlu diambil untuk menangani COVID-19 terutama di daerah Kinta, Hulu Perak dan Larut Matang Selama.

“Kita tak dapat memenuhi kehendak semua orang tapi kita cuba perhalusi pada petang ini dan apa juga keputusan saya harap mendapat sokongan daripada seluruh rakyat negeri Perak,” ujarnya.

Beliau menambah, mesyuarat petang ini juga akan membincangkan kemungkinan untuk membeli sendiri vaksin seperti beberapa negeri lain.

“Sekarang ni kita perlu dapat maklumat daripada Pengarah Kesihatan Negeri (Datuk Dr Ding Lay Ming) terlebih dahulu, jadi jika ada keperluan, kita akan bincangkan dan jika ada kemampuan dari segi kewangan, kita akan cuba membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat negeri Perak,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here