‘Satu sen pun kami tidak pernah dan akan sentuh’ -Hamas

0
1916
Yahya Sinwar

GAZA – Pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) berikrar tidak pernah dan tidak akan ‘mengusik’ satu sen pun bantuan antarabangsa yang disalurkan untuk pembangunan semula Palestin yang musnah diserang Israel.

Ketua Sayap Politik Hamas, Yahya Sinwar berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang usaha antarabangsa termasuk dari negara Arab untuk membangunkan semula Semenanjung Gaza dan menjanjikan pengagihan bantuan secara telus.

“Kami tidak akan mengambil satu sen pun peruntukan dan bantuan kemanusian untuk membangunkan Gaza, bahkan kami tidak pernah mengambilnya pada masa lalu,” katanya seperti dilaporkan media luar, baru-baru ini.

Kenyataan itu dibuat selepas desakan Israel yang tidak mahu bantuan antarabangsa kepada Palestin diserahkan kepada Hamas dengan menuduh Hamas menyalahguna peruntukan itu untuk mengukuhkan kekuatan ketenteraannya.

Dalam peperangan antara Hamas dengan Israel yang tercetus antara 10 hingga 21 Mei lalu, sebanyak 254 penduduk Palestin maut termasuk 66 kanak-kanak.

Manakala tembakan roket Hamas dilaporkan membunuh 12 penduduk Israel.

Terbaharu, Qatar setuju menyalurkan peruntukan berjumlah AS$500 juta untuk membangunkan semula kemusnahan aset kerajaan dan penduduk di Gaza.

Sheikh Mohammed bin Abdul Rahman Al Thani

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Qatar dan Menteri Luar Negeri, Sheikh Mohammed Abdul Rahman Al Thani semalam.

“Kami akan terus mendokong saudara-saudara kita di Palestin untuk mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan dengan menubuhkan negara mereka yang merdeka,” katanya dalam ciapan di Twitter.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here