‘Saya bukan zalim’ – Perdana Menteri

0
179
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Hari Raya Aidilfitri bukan tindakan zalim tetapi untuk melindungi nyawa semua pihak.

Beliau berkata, keputusan berat itu terpaksa dibuat berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari, ditambah dengan varian baharu yang sudah memasuki negara.

Katanya, meskipun tahu rakyat akan marah, keputusan itu dilakukan sebagai ikhtiar kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19

“Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok. Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah kerajaan ini?

“Saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk melindungi nyawa rakyat. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, manalah tahu ada tetamu yang datang ke rumah itu positif Covid-19.

“Bayangkan kalau tetamu ini datang ke rumah saudara-saudari, maka berjangkitlah penyakit itu kepada saudara-saudari. Selepas itu dia pergi ke rumah orang lain. Berjangkit pula kepada tuan rumah itu.

“Kalau dia ziarah 10 rumah, maka 10 keluarga akan dijangkiti Covid-19. Akhirnya, habis saja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif Covid-19 di negara kita berkemungkinan melonjak ke puluhan ribu sehari,” katanya dalam perutusan Aidilfitri, malam ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengakui keputusan melaksanakan PKP adalah satu keputusan sukar, selain tidak popular dan mungkin tidak memuaskan hati rakyat namun mesti dibuat untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan rakyat.

Sementara itu, beliau menjelaskan keputusan kerajaan untuk membuka sektor ekonomi ketika PKP 3.0 dibuat berasaskan kerugian yang tinggi perlu ditanggung negara.

Katanya, ketika pelaksanaan PKP 1.0 negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari dan ramai pekerja yang hilang pekerjaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here