Semboyan Malaysia ambil iktibar kes pukul warga asing

0
246
Tangkap layar video yang tular selepas beberapa lelaki memukul seorang warga asing

CYBERJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Semboyan Malaysia yang terpalit dengan kes memukul seorang warga asing mahu menyelesaikan isu tersebut dengan cara yang lebih baik.

Menurut NGO itu dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, Semboyan Malaysia juga mengambil ia sebagai satu ikhtibar.

“Dalam pada itu, kami juga akan bertindak lebih profesional terutamanya ketika turun ‘padang’.

“Seiring dengan misi utama, pihak Semboyan Malaysia akan cuba sebaik mungkin membantu membela nasib mereka (pengguna) yang terbabit dalam penganiayaan, penindasan dan kezaliman,” katanya hari ini.

Polis sebelum ini mengesan sekumpulan individu yang dirakam memukul seorang lelaki warga asing yang kemudiannya tular di laman media sosial.

Susulan itu, polis menahan Pengerusinya, Yusuf Azmi bersama lima individu lain hari ini.

Dalam pada itu menurut kenyataan itu, isu itu tercetus apabila terdapat seorang individu warganegara asing cuba ‘menciplak’ hasil rekaan T-shirt Semboyan Jihad keluaran pihak Semboyan Malaysia sendiri.

Katanya, isu tersebut tidak boleh diambil ringan kerana telah mendatangkan kerugian besar sekali gus mencalarkan imej branding syarikat Semboyan Malaysia sendiri.

“Rentetan daripada itu, pihak Semboyan Malaysia mengakui terkilan dengan tindakan tak berhati perut ‘lanun’ warga asing tersebut. Lebih menyedihkan lagi apabila usaha keras dalam mengeluarkan T-shirt Jihad Semboyan selama ini seolah-olah telah dipermainkan begitu sahaja,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here