Seorang mangsa insiden tren LRT tuntut RM1.8 juta dari Prasarana

0
223

Keadaan mangsa di dalam tren LRT yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini

CYBERJAYA – Seorang mangsa dalam insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mengemukakan Notis Tuntutan Undang- undang (Legal Notice Of Demand).

Notis tuntutan menerusi firma guaman Tetuan Jazzmine Khoo & Associates itu dikeluarkan terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berhubung ganti rugi sebanyak RM1.8 juta.

Notis tuntutan itu dikemukakan oleh keluarga mangsa, Wong Chee Foong, 52,  kos perbelanjaan perubatan, kecederaan fizikal, tekanan mental dan emosi serta trauma dan kehilangan pendapatan.

Peguam, Jazzmine Khoo menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, akibat nahas itu, mangsa yang bekerja sebagai Chef Dapur di sebuah hotel di ibu negara kini mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, muka dan tulang belakang akibat nahas itu.

“Kecederaan itu menyebabkan mangsa terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan rawatan lanjut selain masih belum sedar dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bapa kepada empat anak berusia antara tiga tahun hingga 15 tahun itu merupakan satu-satunya penyara nafkah keluarganya.

“Keluarga mangsa berharap agar pihak terlibat dapat menjawab surat tersebut dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang lebih baik dan wajar dengan segera,” katanya seperti yang dilaporkan Kosmo hari ini.

Dalam pada itu, peguam itu menambah, keluarga mangsa kecewa kerana sehingga kini tiada sebarang usaha dilakukan Prasarana berhubung kos perubatan dan kerugian pendapatan serta bantuan RM1,000 seperti dijanjikan sebelum ini.

“Walaupun begitu, keluarga juga menyatakan bahawa RM1,000 tersebut bukanlah jumlah pampasan setimpal kerana ganti rugi dialami mangsa adalah lebih besar,” katanya.

Pada 24 Mei lalu, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam insiden pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here