Solat Aidilfitri di Perak dibenar di kawasan lapang, padang

0
173
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

CYBERJAYA – Selain di masjid dan surau, umat Islam di negeri Perak dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di kawasan terbuka dan lapang dengan kapasiti jemaah tidak melebihi 50 orang.

Kebenaran itu diumumkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selepas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini dalam satu kenyataan berkata, kebenaran itu hanya melibatkan solat berjemaah dan sebarang aktiviti jamuan selepas solat tidak dibenarkan.

Larangan juga termasuk kepada acara bertakbir dari rumah ke rumah.

“Masjid dan surau mengadakan solat sunat Aidilfitri dengan had jemaah menurut yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN dengan kehadiran terhad kepada warganegara Malaysia berusia 12 tahun ke atas.

“Sebarang bentuk jamuan di masjid, surau dan kawasan lapang terbuka selepas solat sunat Aidilfitri tidak dibenarkan. Turut tidak dibenarkan melakukan ziarah kubur,” katanya.

Sultan Nazrin menurut Mohd. Annuar turut mengingatkan seluruh rakyat negeri itu supaya menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang semakin serius ketika ini.

Disebabkan kebimbangan itu juga katanya, baginda memutuskan untuk tidak berangkat ke Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar untuk menunaikan solat Aidilfitri dan membatalkan jamuan Aidilfitri di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

“Baginda menzahirkan ingatan agar rakyat memahami tahap keseriusan penularan wabak dan turut mengambil tanggungjawab membantu memutuskan rangkaian jangkitan serta menunjukkan simpati kepada para petugas barisan hadapan, terutama para petugas perubatan dan kesihatan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan rakyat serta ketabahan rakyat menghadapi ujian Ilahi ini,” katanya.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, kehadiran jemaah di masjid dan surau dihadkan tidak melebihi 50 orang bagi yang berkapasiti besar dan 20 orang bagi masjid berkapasiti kurang 1,000 jemaah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here