Solat sunat Aidilfitri dibenarkan, SOP raya turut diumumkan

0
69
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Solat sunat Aidilfitri tahun ini dibenarkan di seluruh negara kecuali bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Kebenaran itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dengan mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan.

“Amalan ziarah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula hanya dibenarkan pada 1 Syawal, manakala kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan sehingga 3 Syawal.

“Namun bagi kawasan PKPD tidak dibenarkan untuk amalan ziarah sehingga tamat tempoh,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ismail Sabri berkata, jumlah pengunjung bagi aktiviti ziarah tidak boleh melebihi 15 orang untuk kawasan PKP, manakala tidak melebihi 20 orang bagi kawasan PKPB dan 25 orang bagi kawasan PKPP pada satu-satu masa

“Jumlah tetamu itu juga tertakluk kepada saiz kediaman. Bagaimanapun, kerajaan tidak membenarkan penganjuran rumah terbuka di seluruh negara dan takbir dari rumah ke rumah.

“Turut dilarang adalah amalan menziarahi kubur di kawasan PKP dan PKPD. Namun, kunjungan selama 30 minit bagi individu tidak melebihi enam orang bagi setiap lot kubur dibenarkan kawasan PKPB dan PKPP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here