SOP PKP 3.0 tidak berkesan, perlu pendekatan lebih tegas – Norshida

0
96
Pengunjung ketika membeli kelengkapan Aidilfitri pada minggu terakhir Ramadan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur yang bermula hari ini di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India. – FOTO-FARIDJANUDIN

CYBERJAYA – Penggunaan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang ditetapkan kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) pada masa kini dilihat tidak berkesan dan perlu diperketatkan lagi.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, sekiranya kerajaan masih lagi menggunakan prosedur SOP semasa bagi mengekang penularan Covid-19, adalah dibimbangi perkhidmatan kesihatan negara lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara.

“SOP sedia ada yang dilaksanakan dalam PKP 2.0 dan PKP 3.0 ketika ini dilihat tidak berkesan mengurangkan jangkitan Covid-19 bahkan ia dilihat semakin meningkat setiap hari.

“Trend peningkatan kes disebabkan terdapat banyak pergerakan orang ramai yang tidak dapat dikawal berikutan kepentingan atau permasalahan ekonomi.

“Tempoh 21 hari itu adalah tempoh yang paling minimum bagi membolehkan langkah paling drastik dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-9,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kes Covid-19 hari ini mencatatkan rekod baharu dengan 6,806 kes sehingga membimbangkan orang ramai yang mahu kerajaan bertindak segera bagi mengekang penularan wabak itu.

Norshida berkata, trend peningkatan kes Covid-19 disebabkan terdapat banyak pergerakan orang ramai yang tidak dapat dikawal berikutan kepentingan atau permasalahan ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan wajib memberi bantuan kewangan kepada isi rumah yang terjejas sebagai bantuan ekoran pelaksanaan PKP itu.

Pada masa sama, katanya, Bank Negara dan Kementerian Kewangan perlu mewajibkan bank-bank melaksanakan semula moratorium penuh seperti tahun lalu kepada semua peminjam sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebagai inisiatif mengurangkan kesan ekonomi serta kepada individu dan organisasi.

Sementara itu, Norshida juga meminta orang ramai sentiasa berhati-hati dan tidak memandang ringan bahaya Covid-19 yang kini boleh disifatkan sebagai wabak membawa maut.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila sesiapa sahaja boleh dijangkiti wabak tersebut dalam komuniti.

“Ia bukan virus selsema biasa. Sebelum ini kita melihat jangkitan jaringan penyakit ini daripada warga asing, dan pekerja kilang tetapi sekarang jangkitan berlaku dalam kalangan keluarga, artis, orang yang kenduri, buat majlis raya dan lain-lain keramaian.

“Lebih membimbangkan, ahli keluarga tidak sedar sudah dijangkiti kerana mereka tiada gejala. Maknanya kita semua terdedah sesama kita kepada virus maut ini.

“Sebab itu, banyak hospital dan pusat kuarantin penuh. Keputusan dan langkah yang tegas mesti dibuat, kalau dah pakar kesihatan kata buat PKP penuh, elok segerakan buat PKP.

“Bukan sibuk memikirkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan lain-lain perkara. Adakah segalanya itu lebih penting dari nyawa?,” soalnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here