SOP terkini perayaan Aidilfitri diketahui esok

0
108
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

JERANTUT – Keputusan sama ada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) bagi sambutan Aidilfitri pada minggu hadapan akan diperketatkan lagi atau tidak dijangka diumumkan selewat-lewatnya esok

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat bagi memberi rakyat membuat persediaan sebaiknya.

“Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengumumkan petang ini atau esok berhubung kemungkinan pelaksanaan PKP pada Aidilfitri ini,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan pembukaan laluan jambatan ‘Compact Bailey 100’ Kampung Sungai Putat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini kerajaan tidak bercadang melaksanakan satu lagi PKP di seluruh negara, sebaliknya meneruskan perintah itu secara bersasar.

Katanya, pelaksanaan PKP bersasar boleh dilakukan mengikut sistem Hotspots Identification for Dynamic Engangement (HIDE) yang boleh menunjukkan kawasan tertentu berlaku penularan kes besar (titik panas) Covid-19.

“Jika ada kawasan titik panas, kita akan buat PKP tetapi mengikut kepada kampung, mukim atau daerah yang mempunyai kes penularan banyak dengan skala paling kecil ialah PKP Diperketatkan (PKPD), namun ia masih secara bersasar setakat ini.

“Bagaimanapun, pelbagai kemungkinan boleh berlaku kerana mengikut data Kementerian Kesihatan (KKM), jika tiada kawalan kerajaan, kes boleh sampai sehingga lebih 5,000 selepas Aidilfitri dan boleh meningkat sehingga 10,000 kes pada Julai dan Ogos,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri juga mengesahkan MKN Pahang membuat permohonan supaya daerah Kuantan diletakkan di bawah PKP mengambil kira peningkatan kes positif di beberapa lokaliti di daerah itu sejak akhir-akhir ini, namun ia juga belum diputuskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here