Suntikan vaksin di masjid dicadangkan atasi kekurangan umat Islam ambil vaksinasi

0
137
Datuk Ahmad Amzad Hashim

CYBERJAYA – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 di masjid-masjid terpilih di seluruh negara dalam masa terdekat ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, langkah itu juga bertujuan meningkatkan jumlah penerima dalam kalangan umat Islam.

“Dalam pada itu, kerajaan akan menggerakkan pasukan bergerak untuk memberi suntikan kepada warga emas, gelandangan, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit terlantar yang tidak dapat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Bagi meningkatkan penerimaan suntikan umat Islam, PPV di masjid-masjid terpilih sedang dirancangkan untuk dilaksanakan segera. Keutamaan kepada yang telah pun mendaftar untuk vaksin,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, katanya, bagi memudahkan lagi rakyat menerima suntikan vaksin, sebanyak 1,800 pengamal perubatan swasta (GP) telah diluluskan akan melaksanakan suntikan vaksin percuma milik kerajaan.

“Jumlah bekalan vaksin yang banyak yang akan diperoleh pada Jun, Julai dan Ogos ini membolehkan vaksin dibekalkan kepada GP swasta selain pembukaan lebih banyak PPV awam.

“GP swasta boleh menyumbang suntikan vaksin sehingga 40,000 orang penerima setiap hari jika segalanya berjalan baik,” ujarnya.

Selain itu, katanya, sebanyak lima lagi PPV bersaiz mega akan dibuka seperti di WTCKL yang mampu menyuntik kepada lebih 8,000 orang setiap hari.

Pada masa sama, katanya, beberapa program outreach seperti di Dungun, Terengganu menerusi pemberian vaksin secara pandu lalu di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian telah mula dilaksanakan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here