Surat kebenaran MITI ‘luput’ esok

0
1001
Surat kebenaran bekerja yang dikeluarkan MITI sebelum ini. – Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Surat kebenaran bekerja, rentas negeri dan daerah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini hanya sah sehingga esok, 31 Mei 2021.

Bermula 1 Jun iaitu tarikh berkuatkuasanya pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (PKP) 3.0 atau total lockdown Fasa Pertama, surat kebenaran yang sah akan dikeluarkan oleh kementerian yang berkaitan dengan sektor perkhidmatan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar Perincian prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 petang ini.

“Berkuatkuasa 1 Jun ini semua surat kebenaran bekerja, rentas negeri dan daerah yang dikeluarkan oleh MITI tidak dibenarkan lagi digunakan dan surat berkaitan hanya dikeluarkan oleh kementerian berkaitan,” katanya.

Ismail berkata, bagi pergerakan rentas daerah dan negeri yang melibatkan kecemasan atau sakit, orang ramai perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak polis.

Katanya, lebih 200,000 kenderaan telah dibenarkan melepasi sekatan jalan raya (SJR) ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu dengan pelbagai alasan diberikan.

“Ramai yang guna pelbagai cara untuk balik ke kampung, sehingga 200,000 berjaya melepasi sekatan polis sehingga wujud kluster Hari Raya, sehingga berlaku kematian,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai supaya tidak melakukan penipuan semasa memohon kerana tindakan merentas sempadan langsung tidak berbaloi sekiranya mendedahkan penularan Covid-19 kepada orang lain.

“Saya difahamkan ada kes yang meragukan tidak diluluskan oleh polis, tapi ada juga kes yang benar tetapi terpaksa ditolak kerana banyak kes penipuan.

“Jujurlah ketika membuat permohonan. Walaupun kita boleh tipu polis tapi kita tidak boleh tipu Covid-19.

Sementara itu, dalam penjelasannya, Ismail mengakui 90 peratus daripada penetapan SOP PKP 3.0 menyamai apa yang ditetapkan pada PKP 1.0.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here