Tambahan PKPD di empat negeri, tempoh kuarantin di pintu masuk dilanjutkan

0
73
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Beberapa lokaliti di Johor, Sabah, Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 26 Mei hingga 8 Jun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan itu dikeluarkan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan terbabit.

Pelaksanaan PKPD di Pahang melibatkan 3 mukim dalam daerah Lipis iaitu mukim Kuala Lipis, Mukim Penjom dan Mukim Budu.

Di Sabah, melibatkan dua lokaliti iaitu di Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau dalam daerah Patutan; Felda Umas, Ladang Felda FGV Kalabakan Selatan dan Kampung Sungai Imam di Tawau.

Manakala di Johor (Felda Kahang Timur, Kluang).

Sementara itu katanya, satu lokaliti di Sarawak iaitu di Kampung Bako Hilir, Kuching ditamatkan PKPD bermula esok.

Dalam kenyataan yang sama, Ismail berkata, tempoh kuarantin wajib bagi semua pengembara dari luar negara dilanjutkan daripada 10 hari kepada 14 hari di semua stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, bagi pengembara dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan pula dilanjutkan kepada 21 hari.

“Namun begitu, tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama tujuh hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21 hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko yang telah dijalankan pada hari ke-14.

“Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di stesen kuarantin yang sama,” katanya.

Selain itu, semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RT- PCR COVID-19 tiga hari sebelum berlepas dan hanya keputusan ujian negatif boleh menaiki penerbangan untuk masuk ke Malaysia.

Malah, semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RT- PCR COVID-19 semasa tiba di pintu masuk antarabangsa.

“Ujian ulangan RT-PCR COVID-19 dilakukan pada hari ke- 10. Sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan RT-PCR COVID-19 dibuat pada hari ke- 18,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here