Tempahan slot vaksin tanpa persetujuan individu akan diatasi CITF

0
314
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mendapati ada pihak yang menempah slot vaksin AstraZeneca bagi individu lain tanpa persetujuan.

CITF dalam satu kenyataan berkata, semakan yang dijalankan daripada aduan mendapati ada individu yang diberikan janji temu walaupun tidak pernah membuat tempahan ketika slot dibuka.

“Antara aduan yang diterima ‘pertindihan’ janji temu (bukan AstraZeneca) yang telah didaftar sebelum ini telah digantikan dengan janji temu vaksin AstraZeneca.

“Hasil semakan dan siasatan awal juga mendapati beberapa slot vaksin AstraZeneca telah ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit, khususnya untuk menerima vaksin AstraZeneca,” kata CITF.

CITF mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai telah dilakukan menggunakan beberapa alamat Internet Protokol (IP) yang sama dan telah menghubungi SElangkah yang merupakan antara pihak yang telah membuat tempahan slot dalam jumlah yang besar.

“Pihak SELangkah turut memaklumkan bahawa mereka telah membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL setuju untuk menerima vaksin AstraZeneca dan menggantikan janji temu yang telah diberi sebelum ini, sekiranya ada.

“Pihak SELangkah telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu berbangkit ini dan memastikan bahawa individu yang terbabit akan mendapatkan balik janji temu yang sebelumnya,” demikian menurut kenyataan itu.

Badan itu berkata, kesulitan yang timbul akan diatasi sebaik mungkin dan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai.

Rabu lepas, satu juta slot untuk pusingan kedua tempahan janji temu vaksin AstraZeneca bagi penduduk di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor yang berumur bawah 60 tahun penuh dalam tempoh 90 minit sebaik tempahan dibuka.

Pada 23 Mei lepas, slot tempahan vaksinasi AstraZeneca dibuka untuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here