Tempoh kuarantin rakyat Malaysia tiba dari India dilanjutkan kepada 21 hari

0
121
Pasukan kesihatan melakukan saringan kesihatan kepada rakyat yang tiba dari India ke Malaysia pada Selasa lalu

CYBERJAYA – Berkuat kuasa serta merta kerajaan melanjutkan tempoh kuarantin rakyat Malaysia yang tiba dari India ke tanah air kepada 21 hari kes jangkitan Covid-19 melibatkan varian India semakin serius di negara tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehubungan itu mereka dikehendaki menjalani kuarantin wajib ini di stesen kuarantin yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Pada masa sama, katanya, mereka juga perlu menjalani ujian makmal RT-PCR bagi pengesanan Covid-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Negara India telah merekodkan bilangan jangkitan harian melebihi 300 ribu kes sejak April 2021 dan yang tertinggi di dunia pada masa ini.

“Mengambil kira situasi ini, kerajaan Malaysia telah meluluskan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) untuk membawa pulang dari India rakyat Malaysia dan pasangan serta keluarga mereka.

“Misi HADR ini telah diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan (KKM), Bomba, Airport Fire & Rescue Service (AFRS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Aviation Security (AVSEC), syarikat Follow Me, syarikat UTW Electrical dan syarikat pengangkutan swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua peserta misi itu bersama rakyat Malaysia di India yang berjumlah 219 orang selamat tiba di Malaysia pada Selasa lalu pada pukul 9.15 pagi.

“Penerbangan ini membawa pulang 132 orang (64 lelaki dan 68 perempuan) iaitu 117 orang rakyat Malaysia, lapan orang warga Brunei, empat orang warga Denmark, dua orang warga India dan seorang warga Indonesia.

“Mereka adalah terdiri dari 92 orang dewasa dan 40 orang kanak-kanak. Misi ini hanya membawa pulang penumpang dengan keputusan ujian RT-PCR Covid-19 negatif sahaja,” ujarnya.

Dr Noor Hisham berkata, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kesemua penumpang itu dibawa melalui laluan khas ke Air Disaster Unit (ADU) KLIA untuk menjalani saringan kesihatan.

Katanya, pihaknya mendapati tiada penumpang yang mengalami gejala, namun mereka telah diambil ujian saringan untuk ujian pengesanan RT-PCR Covid-19.

Katanya, hasil keputusan ujian yang diperolehi semalam menunjukkan tujuh daripada 132 penumpang telah dikesan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 5.3 peratus.

“Mengambil kira keputusan di atas dan penilaian risiko yang dijalankan, maka KKM telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuarantin wajib bagi penumpang yang tiba dari India bagi misi HADR pada 12 Mei lalu dan juga penumpang yang tiba melalui penerbangan repatriasi semalam iaitu daripada 14 hari kepada 21 hari,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan sekatan sedia ada bagi penumpang bukan aarganegara ke Malaysia dari India masih berkuatkuasa seperti biasa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia untuk memberi kerjasama dalam mengekang kemasukan varian baharu dari India, iaitu varian B.1.617.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here