
BAITULMAQDIS – Tentera Israel terus bertindak biadab terhadap umat Islam apabila menyerang mereka yang sedang menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Aqsa sebentar tadi.
Menerusi beberapa perkongsian video di lokasi kejadian, kelihatan tentera dan polis rejim Israel melepaskan gas pemedih mata, peluru getah dan bom tangan ketika umat Islam sedang menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.
Dalam pada itu, memetik laporan Agensi Anadolu, sekurang-kurangnya 53 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran yang berlaku di kawasan Haram al-Sharif.

Menurutnya, polis Israel menyerang umat Islam yang sedang bersolat di Masjid al-Qiblatain di dalam al-Aqsa.
Tindakan ganas itu dibalas dengan serangan oleh rakyat Palestin yang membaling batu dan gelas terhadap tentera Israel.

Dalam pada itu, serangan pasukan keselamatan Israel terhadap penduduk Israel turut berlaku di hadapan pintu al-Silsila di Al-Aqsa iaitu salah satu pintu untuk masuk ke masjid berkenaan.
Tentera Israel terus bertindak ganas dengan menyerang penduduk Palestin di hadapan pintu Damascus dan Es-Sahire di Kota Lama, sehingga menimbulkan panik dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.