Tiada individu bernama Ajit Prasat, laporan polis dibuat terhadap Muhammad Fahmi Abdullah

0
673
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

CYBERJAYA – Dua laporan polis telah dibuat terhadap pemilik akaun Facebook, Muhammad Fahmi Abdullah yang didakwa membuat hantaran palsu berhubung penumpang dari India yang tiba ke negara ini dengan menaiki pesawat MH191.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, laporan polis itu dibuat bagi memastikan orang ramai tidak terkeliru dengan dakwaan tidak berasas yang cuba menimbulkan keresahan awam.

“Saya sudah semak dakwaan tersebut dan fakta yang tepat ialah penerbangan seperti yang didakwa dan pesawat MH191 merupakan penerbangan kargo.

“Kenyataan yang dibuat adalah meragukan kerana sememangnya tidak ada mana-mana majikan swasta yang boleh mengambil sesiapa sahaja untuk dihantar ke pusat kuarantin. Sebaliknya segala urusan tersebut di bawah kendalian Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular tangkap layar komen oleh
pemilik akaun Facebook, Muhammad Fahmi Abdullah yang mendakwa diarahkan oleh majikannya untuk mengambil penumpang yang tiba menerusi penerbangan MH191 dari New Delhi, India.

Tangkap layar komen pemilik akaun Muhammad Fahmi Abdullah

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, komen pemilik akaun itu telah menimbulkan panik dan kemarahan dikalangan rakyat Malaysia secara umumnya.

Katanya, apa yang jelas, tiada individu bernama Ajit Prasat dalam penerbangan MH191 sebagaimana yang didakwa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak menghentikan penyebaran khabar angin atau berita palsu sedemikian.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here