Tiada penerbangan bawa penumpang dari India, hanya penerbangan kargo dibenarkan

0
63
Datuk Seri Wee Ka Siong

CYBERJAYA – Kesemua penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dari India ke negara ini bukan untuk membawa penumpang tetapi dikhaskan untuk penerbangan kargo sahaja.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, tindakan itu selari dengan arahan kerajaan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuatkuasa 28 April lalu, semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia.

“Hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini. Penerbangan pesawat penumpang juga kosong dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan terdapat penerbangan memasuki Malaysia dari India seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, kata Ka Siong, untuk mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukan sesuatu yang baharu dan dipraktikkan MAB sebelum ini susulan berlakunya pandemik Covid-19.

“CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia), MAS Kargo di bawah kendalian MAB dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga telah mengesahkan fakta ini.

“Semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April.

“Pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini. Bagaimanapun, pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, pekerja asing yang memegang pas pekerja sementara, pekerja perniagaan dan pelajar antarabangsa dari India turut dikenakan sekatan sama berkuatkuasa 28 April.

Katanya, pelajar dan pekerja warga Malaysia, ahli keluarga mereka dan pasangan bukan rakyat Malaysia yang kembali ke Malaysia dari India dibenarkan tetapi perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan, katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here