Tiada suntikan vaksin secara ‘walk-in’

0
58
Tangkap layar video orang ramai beratur di PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan dikatakan untuk mendapatkan suntikan secara walk in.

PUTRAJAYA – Pemberian vaksin secara walk-in bagi mengantikan tempat pendaftar yang menolak suntikan tidak pernah dibenarkan di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak percaya pada penerimaan vaksin cara itu seperti video di PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, di Kelantan yang tular di media sosial.

CITF berkata, orang ramai tidak boleh berharap untuk mendapatkan vaksin yang tidak digunakan orang lain kerana kerajaan sudah mempunyai satu mekanisme untuk menghindari pembaziran vaksin.

Secara am katanya, semua PPV akan mempunyai senarai individu daripada pangkalan data yang akan mereka hubungi melalui pesanan ringkas atau telefon.

“Individu yang dihubungi akan ditanya sama ada mereka berminat untuk mendapatkan vaksin dan sama ada mereka dapat hadir ke PPV pada hari itu juga,” katanya.

CITF berkata, bagi PPV AstraZeneca pula, satu senarai menunggu, iaitu senarai nama mereka yang telah menempah slot menunggu sewaktu penempahan untuk suntikan vaksin AstraZeneca digunakan sebagai asas.

“Mereka yang dipilih di bawah senarai ini akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon.

“Oleh itu, CITF ingin menggesa orang ramai agar tidak hadir di PPV tanpa sebarang urusan dan temu janji serta tidak perlu untuk berlegar atau menunggu di PPV bagi mendapatkan vaksin tanpa janji temu,” katanya.

Tular di media sosial orang ramai bersesak di hadapan pintu pagar PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, di Kelantan yang berpunca daripada mereka yang sedang menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk in’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here