Tidak percaya bahaya Covid-19, KKM mula siarkan keadaan pesakit di wad kritikal dan ICU

0
752
Pasukan perubatan memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit di wad kritikal/ICU

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mula menyiarkan keadaan pesakit Covid-19 yang berada dalam zon kritikal dan unit rawatan rapi (ICU) sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya wabak penyakit itu.

Dalam beberapa keping gambar yang dimuatnaik dalam laman Facebook KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan keadaan pesakit yang berada dalam kritikal dan ada daripada mereka yang perlu diintubasi.

Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran dalam laman Facebook miliknya melahirkan kebimbangan dengan trend peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara yang boleh menyebabkan kapasiti kesihatan negara berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

Beliau berkata, menurut statistik terkini yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 terkini di Lembah Klang secara purata keseluruhan telah mencapai 90 peratus pada pagi hari ini.

Petugas perubatan sedang melakukan rawatan kecemasan terhadap pesakit

“Sebanyak enam buah hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal / ICU dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati telah melebihi ambang amaran kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di mana ada di antaranya telah pun menghampiri 100 peratus

“Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal / ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal / ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

Orang ramai sebelum ini menggesa KKM menyiarkan gambar pesakit Covid-19 yang berada dalam wad kritikal berikutan masih terdapat pihak yang tidak mengendahkan SOP sehingga menyebabkan kes wabak berkenaan semakin bertambah setiap hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here