Tinggal solat Jumaat 3 kali munafik? Itu satu salah faham yang jelas

0
666
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

CYBERJAYA – Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak terpedaya dengan salah faham berkenaan hukum meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan pendebatan ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, dakwaan bahawa kononnya meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali termasuk dalam golongan munafik adalah suatu salah faham yang jelas.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, sememangnya benar terdapat hadis berkenaan perkara tersebut tetapi ia perlu dibaca secara menyeluruh kerana dalam isu Covid-19, ia adalah satu wabak penyakit berjangkit.

“Justeru, ia lebih bersifat kemaslahatan umum yang kita disuruh untuk kuarantin dan duduk di rumah, maka ia perlu lebih lagi diutamakan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya semalam.

Sebelum ini, terdapat segelintir individu yang berkongsi potongan hadis kononnya seseorang itu dikira munafik sekiranya meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali.

Isu ini akhirnya mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebelum beliau tampil dengan pencerahan sebenar mengenai perkara itu menerusi buku bertajuk Soal Jawab Fiqh Covid-19 (edisi kemas kini) hasil tulisan beliau sendiri.

Zulkifli menegaskan, perkara berkenaan juga sudah dibincangkan bersama pihak-pihak seperti Kementerian Kesihatan dan juga pakar-pakar berkenaan.

“Maka, kami katakan golongan yang dicap sebagai munafik itu adalah mereka yang meninggalkan tiga kali Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran.

“Sedangkan situasi yang berlaku sekarang adalah umat Islam sedang berada dalam keadaan darurat kesihatan disebabkan penularan wabak penyakit perjangkit Covid-19,” katanya.

Justeru, katanya, beliau dengan rendah diri merayu agar seluruh umat Islam di negara ini kekal meletakkan kepatuhan yang tinggi terhadap arahan kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama.

Pencerahan sebenar mengenai hukum solat ini boleh dimuat turun di pautan https://mira.gov.my/wp-content/uploads/2020/09/FIQH-COVID_Kemas-Kini-1_compressed-1.pdf.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here