Ubah fikiran saat akhir, lebih 10,000 individu gagal hadir untuk suntik vaksin

0
165
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Di saat-saat akhir berubah fikiran menyebabkan terdapat individu yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kedah dikesan tidak hadir antara 19 April hingga Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sebanyak 10,827 individu berkenaan yang sepatutnya menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV Klinik Kesihatan seluruh negeri gagal hadir temu janji berkenaan.

Beliau berkata, antara punca mereka tidak hadir ialah bertukar fikiran kerana belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Ada juga memaklumkan mereka tidak sihat dan sedang menjalani kuarantin serta berada di luar kawasan.

“Selain itu, ada yang memberitahu bahawa mereka tiada kenderaan untuk hadir ke PPV, serta ada yang memohon menukar tarikh pada saat akhir,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mohd Fikri berkata, kesemua dos vaksin itu sudah diberikan kepada individu lain dalam senarai simpanan sedia ada.

“Senarai itu membabitkan mereka yang memenuhi kriteria untuk suntikan vaksin fasa dua,” katanya.

Beliau sekali gus meminta orang ramai mengambil langkah proaktif melakukan sekatan pergerakan kendiri atau ‘self lockdown’ bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Ini berikutan kes harian semakin meningkat, akhir-akhir ini, sehingga menjangkau lebih 7,000 jangkitan baharu di seluruh negara, semalam, termasuk Kedah yang mencatat angka harian lebih 300 kes,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Fikri memaklumkan, Kedah kini mempunyai 12 PPV awam dan 22 PPV Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, katanya, 14 PPV klinik swasta dan dua PPV hospital swasta, iaitu Putra Medical Centre (PMC), Alor Setar, serta Hospital Pantai, Sungai Petani.

Beliau berkata, PPV klinik swasta dan hospital dijangka ditambah selepas ini bagi melancarkan lagi proses pemberian vaksin kepada penduduk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here