Vaksin Sinovac: Kerajaan Pulau Pinang kena ‘scam’

0
865
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menunjukkan surat tawaran pemberian vaksin Sinovac percuma oleh sebuah syarikat yang kononnya berpangkalan di luar negara

CYBERJAYA – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma kepada kerajaan Pulau Pinang adalah palsu dan dibuat oleh syarikat yang tidak wujud.

Khairy berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati syarikat yang membuat tawaran sumbangan itu Xintai Development Enterprise Ltd yang dikatakan berpangkalan di Hong Kong, tidak wujud.

Beliau mendedahkan pihaknya juga pernah menerima surat tawaran oleh individu sama dikenali Yong Chee Kong beralamat di Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Februari lalu yang membuat tawaran sumbangan vaksin dengan jumlah yang sama kepada kerajaan Sabah.

“Kakitangan saya sudah maklumkan bahawa bila kita terima surat ini, kakitangan sudah merujuk kepada pihak Sinovac di China dan pada waktu itu pun kita dapati bahawa tawaran ini adalah tidak betul.

“Apa yang ditunjuk Ketua Menteri Pulau Pinang semalam kononnya ada sumbangan tawaran dua juta dos adalah satu perkara yang palsu, scam dan tidak benar sama sekali.

“Kita buat pemeriksaan dengan Sinovac, tidak ada apa-apa urusan, periksa dengan rekod syarikat di Hong Kong, syarikat ini tidak wujud malah tiada siapa pun yang kenal individu bernama Yong Chee Kong beralamat di Kota Kinabalu seperti dalam surat itu.

“Jadi macam mana kerajaan Pulau Pinang boleh menggunakan scam ini untuk menuduh kerajaan Persekutuan menghalang derma dua juta dos vaksin untuk Pulau Pinang,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Terdahulu Khairy mengadakan sidang media secara maya berhubung Sumbangan Bekalan Vaksin kepada Pulau Pinang di sini, hari ini.

Semalam Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan kerajaan negeri itu ditawarkan dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma, tetapi Putrajaya tidak membenarkan mereka menggunakan vaksin itu.

Kon Yeow berkata, pihaknya menulis surat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Februari lalu, ketika tawaran vaksin itu pertama kali dibuat, tetapi KKM menolaknya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, malah wanita yang dinamakan sebagai Pegawai Jualan Antarabangsa dikenali Miss Coco Chang dalam surat itu juga mengesahkan beliau tidak menguruskan urusan Sinovac Biotech Ltd bagi pasaran Asia dan menafikan pernah dihubungi bagi tujuan sumbangan dimaksudkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk membuat laporan polis bagi siasatan lanjut berhubung surat tawaran dan individu yang berkaitan.

Selain itu beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang bekalan vaksin kepada Malaysia atau kerajaan negeri namun, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here