Wanita UMNO kutuk serangan ganas Israel, desak Majlis Keselamatan PBB bertindak tegas

0
47
Datuk Norshida Ibrahim

CYBERJAYA – Wanita UMNO mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilancarkan tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza semalam yang mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin termasuk kanak-kanak.

Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim, serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera rejim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid al-Aqsa serta pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur sangat zalim.

“Kami mengutuk kekejaman serangan yang melampau dan keterlaluan oleh Israel ini secara keseluruhan dan terang-terangan menyalahi undang-undang antarabangsa.

“Tindakan itu sungguh tidak berperikemanusiaan menyerang jemaah yang tidak bersenjata dengan bom tangan dan peluru getah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Wanita UMNO mendesak Israel untuk segera menghentikan serta merta kekejaman terhadap rakyat Palestin di wilayah yang didudukinya termasuk yang berada di Semenanjung Gaza.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mengusir rakyat Palestin dari rumah mereka secara haram oleh polis Israel dan mendesak rejim segera menghentikan pengusiran secara paksa itu.

“Ini kerana Timur Baitulmaqdis sebahagian kawasan yang tidak boleh dipisahkan dari wilayah Palestin yang diduduki, tidak ada kawasan pun yang boleh dirampas,” ujarnya.

Selain itu, Norshida berkata, Wanita UMNO turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah, Rusia, Amerika Syarikat serta masyarakat antarabangsa untuk memaksa Israel segera menghentikan tindakan kejam itu.

Sementara itu, Norshida berkata, pihaknya turut melahirkan kekesalan apabila ketegangan bukan sahaja melibatkan pihak tentera tetapi pendatang Yahudi yang bertindak ganas dengan menceroboh dan merampas kediaman rakyat Palestin termasuk kedai dan kebun.

“Bagaimanapun, rakyat Palestin tidak menyerah kalah malah mereka bangkit melawan pencerobohan itu tanpa senjata.

“Mereka menghadapi kezaliman dengan gagah berani, memberikan sumbangan dengan pengorbanan nyawa para syuhada yang bertali arus tidak henti-henti.

“Mereka itulah golongan yang sedang menunggu giliran untuk syahid laksana alunan ombak lautan yang tidak pernah terhenti,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here