Wanita UMNO nafi dapat arahan Zahid jemput DAP dalam program parti

0
190
Tangkap layar mesej yang tular kononnya Presiden UMNO meminta supaya pimpinan parti itu untuk turut menjemput wakil DAP dalam setiap program yang dianjurkan mereka.

CYBERJAYA – Wanita UMNO menafikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya pimpinan parti itu untuk turut menjemput wakil DAP dalam setiap program yang dianjurkan mereka.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba memecahkan perpaduan di dalam UMNO.

“Ini semua fitnah, saya tidak mengetahui kewujudan Whatsapp group tersebut. Jika betul ada, ia bukan Whatsapp group rasmi Majlis Tertinggi UMNO. Mungkin sengaja dibuat untuk fitnah parti,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan kononnya wujud perbualan WhatsApp yang didakwa daripada kumpulan Majlis Tertinggi UMNO.

Perbualan itu merujuk kepada langkah Noraini menjemput Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Ong Kian Ming dalam satu program lawatannya pada Rabu lalu.

Mengulas lanjut perkara itu, Noraini menjelaskan beliau bertembung secara tidak dirancang dengan Kian Ming ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana ahli Parlimen DAP itu turut berada di situ.

“Saya ke PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac yang tidak pulang ke kampung halaman untuk sambut Aidilfitri. Di situ saya terserempak dengan Ong.

“Sebelum beredar, Ong tanya hendak ke mana dan saya jawab hendak pergi ziarah pelajar UKM yang sakit dekat Sungai Merab.

Kemudian dia kata hendak ikut sebab itu bawah parlimen dia. Itu sahaja. Sebab itu saya kata arahan kononnya daripada presiden UMNO itu fitnah,” tegasnya.

Rabu lalu, Noraini bersama dengan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Hussaini Omar telah menziarah Azura Omar, seorang pelajar PhD di UKM yang sedang berjuang melawan penyakit kanser.

Turut bersama dalam lawatan tersebut Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here