Wanita warga emas ditahan bersama 97 kotak mercun

0
101
Gambar Hiasan

SETIAWAN – Polis menahan seorang wanita warga emas berumur 60 tahun kerana menyimpan 97 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit sah.

Wanita berkenaan ditahan kelmarin pada pukul 8.30 malam dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Simpang Dua Kampung Koh.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan.

“Wanita tempatan itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Kampung Acheh bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.

“Pemeriksaan menemui 97 kotak berisi mercun dan bunga api pelbagai jenama seperti Happy Boom Red Cracker, Happy Boom Fountain dan Happy Boom Moon Rockets disimpan di rumah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM60,000.

“Semua mercun dan bunga api itu dipercayai tidak mempunyai permit serta lesen menyimpan dan tujuannya untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, suspek dan barang rampasan itu kemudian diserahkan kepada BSJ IPD Manjung untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat aktiviti penjualan mercun tanpa permit dan penyimpanan mercun yang tidak sah kepada pihaknya untuk diambil tindakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here