
CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan sokongan agar Malaysia bersama-sama Indonesia dan Brunei mengeluarkan kenyataan sebulat suara mengutuk serangan Israel ke atas Palestin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menegaskan kerajaan Malaysia mengalu-alukan cadangan persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan bagi membincangkan isu tersebut yang dijadualkan hari ini.
“Rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti dengan bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Pelestin.
“Baginda menzahirkan harapan agar seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan, hormat menghormati di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baginda turut menitahkan pengurusan masjid, surau serta rakyat di kediaman sendiri untuk mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Maghrib esok bagi memohon kesejahteraan rakyat Palestin dari niat jahat rejim Israel.