156 warga asing sembunyi di perkampungan haram di Cyberjaya ditahan

0
688
Sebahagian warga asing yang ditahan oleh imigresen awal pagi tadi

CYBERJAYA – Sebuah perkampungan haram yang didiami warga asing di sini diserbu oleh penguatkuasa Jabatan Imigresen awal pagi tadi.

Dalam serbuan itu seramai 156 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di ‘perkampungan’ rumah kongsi dilengkapi elektrik dan air yang dicuri di kawasan tanah terbiar di Cyberjaya.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan selama tiga jam bermula kira-kira 11 malam itu, 202 warga asing diperiksa termasuk 12 wanita berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun dan dua kanak-kanak berusia bawah empat tahun yang terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Pakistan, Bangladesh, Pakistan dan India.

Beliau berkata, mereka ditahan kerana kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dibawa ke pusat saringan Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Penempatan ini berpotensi menjadi punca penularan Covid-19 kerana tiada pematuhan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti berkumpulan,” katanya memetik laporan Bernama hari ini

Dalam perkembangan lain, Dzaimee menafikan dakwaan bahawa pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin namun tidak menahan atau mendakwa majikan di mahkamah.

“Dakwaan ini tidak benar kerana pada 2019, sebanyak 1,059 majikan yang telah kita hadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dengan jumlah denda RM19.3 juta,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lalu, 130 majikan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan dengan jumlah denda bernilai lebih RM10 juta.

Sementara pada tahun ini, setakat bulan lalu, Dzaimee berkata 130 majikan didakwa dengan denda dikenakan berjumlah RM3.2 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here