3 tawar suntikan vaksin Covid-19 berbayar ditahan

0
65
Azmi Abu Kassim

CYBERJAYA – Polis menahan tiga warga tempatan berusia antara 23 hingga 50 tahun disyaki terlibat dalam penjualan suntikan vaksin Covid-19 yang ditawarkan menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek ditahan di Brickfield dan Putrajaya hasil siasatan daripada laporan seorang Pegawai Penyelidik Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), berhubung perkara itu.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pemasaran di sebuah syarikat swasta itu didapati menawarkan ‘jalan singkat’ untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Mereka mengenakan harga sebanyak RM420 bagi dua dos vaksin yang akan disuntik. Bayaran bagaimanapun akan dibuat selepas pelanggan selesai menerima kedua-dua dos suntikan.

“Hasil serbuan di kediaman suspek, polis merampas enam telefon bimbit selain beberapa dokumen berkaitan kegiatan itu, dan kesemua mereka direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Azmi berkata, pengesahan turut dibuat oleh Ketua Sekretariat CITF Persekutuan bahawa, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 tidak memberi kelulusan mana-mana pihak untuk menjual vaksin Covid-19.

Hari ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sekali lagi menegaskan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia.

Katanya, tiada bayaran boleh dikenakan kepada orang ramai yang pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah pengamal perubatan swasta untuk imunisasi Covid-19.

‘’Tiada kos rundingan juga boleh dikenakan oleh pengamal perubatan swasta ke atas orang ramai yang hadir atas janji temu yang telah diberikan untuk divaksinasi,’’ katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak berurusan dengan sesiapa yang menawarkan pembelian vaksin dan sebaliknya untuk terus melaporkan perkara tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here