5 sebab Parlimen perlu bersidang segera – Asyraf Wajdi

0
60
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

CYBERJAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengemukakan 5 sebab kenapa Parlimen perlu bersidang sepertimana yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong.

Beliau berkata, pembukaan semula persidangan Parlimen itu perlu dipercepatkan bertetapan dengan titah Baginda Tuanku yang menggunakan perkataan ‘segera’ dan ‘secepat mungkin’.

Kata Dr. Asyraf, tujuannya tidak lain adalah untuk membahaskan segala perihal mengenai kesulitan yang dihadapi rakyat akibat pandemik Covid-19.

“Buka Parlimen bukan untuk usul undi tidak percaya. Kerajaan masih ada Speaker Dewan yang berpihak kepada mereka yang boleh mengetepikan usul tersebut.

“Jadi Jangan takut dengan bayang-bayang!,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Dr. Asyraf berkata, tujuan pertama adalah untuk membahaskan usul tambahan bantuan tunai untuk rakyat yang terkesan akibat kehilangan punca pendapatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kedua katanya, untuk membahas pemberitan moratorium automatik secara pukal tanpa caj/faedah tambahan, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan diskaun bil-bil utiliti yang naik mendadak akibat PKP.

Tambah beliau, pembukaan sidang Parlimen juga perlu untuk wujud akauntabiliti para pemimpin dan menteri.

“Soalan-soalan rasmi yang wajib dijawab mengenai proses vaksinisasi, kontrak-kontrak vaksin, pusat vaksinasi siapa yang dapat? Macam mana kerajaan belanja RM600 bilion dan menambah hutang RM130 bilion untuk 2021 sahaja?,” katanya.

Selain itu katanya, perbahasan di Parlimen juga perlu untuk mewujudkan semak dan imbang dalam aspek pengurusan pandemik Covid-19.

“Contohnya apakah wujud karenah birokrasi dalam operasi vaksinasi sehingga Pertubuhan Pengamal Perubatan Malaysia sendiri mempertikai keberkesanan program vaksinasi lantaran tidak dimanfaatkan 1,500 Hospital swasta dan lebih 6,000 klinik swasta seluruh Malaysia,” katanya.

Dan yang terakhir kata Asyraf, Parlimen perlu dibuka untuk membahaskan Ordinan Darurat sama ada wujud peruntukan yang tidak wajar sehingga boleh membawa kepada pilih kasih dalam aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), hukuman, pengurusan dan pentadbiran Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun lalu menitahkan supaya Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here