
CYBERJAYA – Sebanyak 69 tapak pembinaan diarahkan tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang sekatan pergerakan penuh yang bermula 1 Jun lalu.
Arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam pemeriksaan pihaknya ke atas 1,088 tapak pembinaan sepanjang 10 hari ‘lockdown’.
CIDB dalam kenyataannya berkata, daripada 1088 tapak pembinaan, 944 daripadanya didapati tidak beroperasi, 75 tapak pembinaan mematuhi SOP dan 69 tapak pembinan diarahkan tutup.
“Penggiat industri pembinaan perlu mematuhi SOP sekatan pergerakan penuh atau berdepan penutupan tapak pembinaan jika didapati tidak mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Garis panduan SOP sekatan pergerakan penuh boleh dimuat turun dari www.cidb.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut CIDB, kontraktor yang melanggar peruntukan Akta 520 dan atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain termasuk Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990), boleh dibawa ke prosiding tindakan tatatertib kontraktor.
Katanya, tindakan penggantungan dan/atau pembatalan Perakuan Pendaftaran Kontraktor dan/atau dikenakan penalti tidak melebihi RM500,000 dan/dikeluarkan mana-mana arahan yang wajar dari CIDB.