ABIM gesa pihak berkuasa bersikap lebih tegas sepanjang lockdown

0
48

CYBERJAYA – Kerajaan dan pihak berkuasa digesa bersikap lebih tegas dengan tidak memberi kelonggaran terhadap permohonan beroperasi daripada luar bidang perkhidmatan perlu.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ketegasan itu perlu dilaksanakan bersesuaian dengan ketegasan yang dikenakan kepada rakyat dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP)

“Ini adalah kelemahan utama yang tidak boleh diulangi pihak berkuasa kerana ia akan mengakibatkan kejatuhan sosioekonomi rakyat secara total jika Sekatan Pergerakan Penuh kali ini gagal berperanan seperti yang disasarkan.

“Untuk itu, ABIM juga menegaskan pentingnya aspek tata kelola baik dan ketelusan diaplikasikan untuk menjaga kebajikan serta kepentingan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Muhammad Faisal menambah, sudah tiba masanya setiap dasar yang dirangka serta keputusan yang dilaksanakan harus bersifat bipartisan.

“Ini kerana negara ini berada di persimpangan yang memerlukan semua pihak khususnya wakil rakyat sama-sama berperanan.

“Maka, keputusan demokratik yang telus termasuk menerusi sidang Parlimen amat perlu bagi memastikan tiada ketirisan serta unsur penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.

Beliau berkata, ia bagi memastikan setiap sumber daya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

“Dalam masa sama ABIM juga akan berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi kerajaan dalam memberi bantuan kepada petugas barisan hadapan serta golongan yang memerlukan sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here