
CYBERJAYA – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, meskipun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menggesa supaya sidang Dewan Rakyat dibuat secepat mungkin, baginda tidak menyebut secara spesifik bila ia perlu dibuka semula.
Malah, Takiyuddin berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah memberikan komitmen bahawa Parlimen akan dibuka pada September atau Oktober ini.
“Titah Yang di-Pertuan Agong supaya kerajaan memberikan perhatian kepada Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri kelmarin amat disanjung tinggi oleh pihak kerajaan.
“Begitu juga titah supaya Parlimen dibuat secepat mungkin, (bagaimanapun) Agong tidak menitahkan diadakan pada bulan berapa. Perdana Menteri pun kata bulan September atau Oktober (Parlimen dibuka).
“Sekarang kita pun dah berada di penghunjung bulan Jun, pasti akan diadakan itu,” katanya dalam sesi temubual dalam Bicara Harakah bertajuk Proklamasi Darurat: Berjaya atau Tidak sebentar tadi.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan sidang Dewan Rakyat dibuka segera sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19 dan mengenai peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.
Dalam pada itu, ditanya mengenai keperluan diadakan pilihan raya sekiranya darurat tamat pada 1 Ogos ini, katanya, berdasarkan undang-undang negara, tempoh penggal bagi satu-satu Parlimen ialah selama lima tahun dan tiada sebab pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan secara tergesa-gesa.
“Tempoh PRU sampai 2023, mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 55(3) tempoh satu-satu Parlimen itu ialah lima tahun jadi kenapa nak awal-awal PRU?
“Di dalam Ordinan Darurat yang kita luluskan, perkara berkaitan dengan PRU di dalam Perlembagaan adalah tidak mempunyai kesan atau tak terpakai. Parlimen tidak boleh dibubarkan semasa keadaan darurat termasuk dewan undangan negeri (DUN).
“Jika dalam keadaan biasa dah kena bubar, dengan adanya Ordinan Darurat DUN Sarawak tidak terbubar sehingga habis darurat pada 1 Ogos ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya dalam tempoh 60 hari selepas 1 Ogos situasi Covid-19 masih serius di Sarawak, kerajaan boleh menasihatkan Agong untuk mengisytiharkan darurat di seluruh Sarawak supaya tidak diadakan pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu sehingga keadaan kembali pulih.-MT