
CYBERJAYA -Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini untuk membolehkan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Katanya, baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, baginda turut menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai seawal mungkin.-MT