Agong ucap tahniah kepada Damok

0
80
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pelumba motosikal negara, Syarifuddin Azman yang menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia pada Ahad lalu.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda menzahirkan sukacita serta bangga di atas kejayaan Syarifuddin di Litar Catalunya, Sepanyol yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencapaian Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok sebagai kejayaan amat bermakna kepada Malaysia dan menjadi suntikan semangat untuk dia memburu kejayaan di masa hadapan.

“Pencapaian cemerlang Syarifuddin ini sekali lagi turut membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah berharap kejayaan dan semangat perjuangan Syarifuddin akan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat, mengatasi dua pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Syarifuddin kini berada di tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 30 mata selepas tiga pusingan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here