Boleh guna surat atau permit pergerakan sehingga 28 Jun

0
263
Anggota Polis memeriksa dokumen kebenaran merentas daerah atau negeri pemandu kenderaan pada Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Pusat Bandar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

CYBERJAYA – Polis menerima semua surat atau permit pergerakan yang diluluskan sebelum ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada 28 Jun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati memalsukan surat atau permit pergerakan tersebut

“Polis akan terus menerima surat atau permit pergerakan yang dikeluarkan oleh 12 kementerian dan agensi yang dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tujuan penyelarasan penguatkuasaan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya (SJR).

“Mereka yang didapati memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan surat atau permit kebenaran tersebut akan diambil tindakan tegas,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di Facebook KDN hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hamzah turut memaklumkan, pihaknya mendapati terdapat peningkatan kes-kes penghinaan terhadap institusi diraja kebelakangan ini melalui media sosial.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam mengikut lunas perundangan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here