Bot nelayan tempatan gajikan kru warga asing ditahan

0
65
Bot nelayan bernombor pendaftaran tempatan yang melakukan tangkapan ikan di luar kawasan dibenarkan berhampiran Pulau Tuba, Langkawi.

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan berhampiran Pulau Tuba, di sini, pada pukul 11.15 malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot tersebut ditahan pada kedudukan 2.1 batu nautika tenggara dalam Op Benteng dan Op Aman.

“Hasil risikan kita berjaya menahan bot berkenaan yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan dengan menggunakan pukat tunda.

“Pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa mendapati, bot bernombor pendaftaran KHF 2652 dikendalikan lima kru termasuk tekong, berumur antara 19 hingga 54 tahun, di mana tekong bersama tiga kru merupakan warga Thailand, manakala seorang lagi kru adalah warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lima orang kru bot warga asing yang ditahan dalam Op Benteng di Perairan Langkawi semalam.

Mohd. Zawawi berkata, pemeriksaan mendapati tekong dan kru warga asing tersebut menggunakan dokumen pengenalan diri meragukan selain kru warga tempatan yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pemilik bot juga disyaki melanggar syarat sah lesen serta disyaki melakukan kesalahan menggaji kru warga asing tanpa permit.

“Bot berserta lima kru kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam penguatkuasaan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, orang ramai dan komuniti maritim diminta untuk berkerjasama dengan menyalurkan laporan aktiviti jenayah di laut menerusi panggilan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis yang beroperasi 24 jam sehari di nombor talian 04-9662750 atau MERS 999.

Bot nelayan bernombor pendaftaran tempatan yang melakukan tangkapan ikan di luar kawasan dibenarkan berhampiran Pulau Tuba, Langkawi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here