
CYBERJAYA – Bermula hari ini, penduduk di Sabah dan Sarawak boleh mengemukakan borang dan semua dokumen sokongan berkaitan permohonan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) melalui kemudahan kotak serahan yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut LHDN dalam satu kenyataan, kemudahan tersebut boleh didapati di semua pejabat cawangan, pejabat satelit dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDN serta di pejabat-pejabat daerah yang berhampiran.
“Kemudahan kotak serahan ini akan disediakan sehingga tarikh akhir permohonan rayuan BPR iaitu pada 30 Jun ini.
“Inisiatif ini diambil bagi memudahkan pemohon rayuan BPR di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kesukaran untuk membuat permohonan rayuan secara dalam talian, sekali gus dapat membantu mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 kerana larangan merentas daerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, melalui kaedah itu pemohon hanya perlu meletakkan borang rayuan BPR yang lengkap berserta semua dokumen sokongan berkaitan ke dalam kotak serahan yang disediakan mengikut waktu operasi pejabat berkenaan.
“Bagi memastikan borang dan dokumen yang diserahkan adalah teratur dan tidak bercampur dengan borang rayuan pemohon lain, pemohon diingatkan agar memasukkan borang dan dokumen sokongan rayuan BPR di dalam sampul atau mencantumkannya dengan kemas terlebih dahulu sebelum meletakkannya ke dalam kotak serahan tersebut.
“Waktu operasi kaunter permohonan rayuan BPR di cawangan, pejabat satelit dan Pusat Khidmat Hasil LHDN dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari,” ujarnya.-MT