Buat bodoh-bodoh: Dr Muhaya mohon maaf

0
713
Dr Muhaya

CYBERJAYA – Prof. Datuk Dr. Muhaya Mohamad memohon maaf atas salah faham yang timbul selepas tersebarnya
sebuah video berkaitan jodoh di laman media sosial sejak semalam.

Beliau yang juga doktor pakar mata berkata, hantaran video klip berdurasi 56 saat tersebut adalah petikan daripada siarang lansung menerusi Facebook Live di laman akaun Prof Muhaya dan YouTube Prof Muhaya TV yang berdurasi 45 minit.

Beliau berkata, video tersebut adalah video lama yang diterbitkan pada 6 Februari lalu dengan bertajuk Antara Cinta dan Cita-cita.

“Siaran live Bonda tersebut adalah sebenarnya bagi menjawab persoalan KK Talib dan komen-komen dari Facebook berkaitan wanita yang dalam dilema, antara mengejar kerjaya, cinta serta keluarga.

“Secara teknikalnya, ini adalah video lama. Bagaimanapun Bonda faham klip yang telah disunting kepada 56 saat ini, telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat, terutamanya kaum wanita, sehingga menimbulkan persoalan, perbalahan dan sangkaan.

“Bonda mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat termasuk pihak media, rakan-rakan dan keluarga yang mengambil inisiatif tabayyun, atau bertanya akan perkara sebenarnya kepada Bonda mahupun team Bonda,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Dr Muhaya yang menggelarkan dirinya sebagai Bonda juga mendoakan semua wanita tanpa mengira latar belakang berjaya di dunia dan akhirat.

Pada masa sama, katanya, bagi mereka yang hendak mendapatkan penjelasan lanjut berhubung video tersebut boleh menonton rakaman video itu menerusi laman YouTube Prof Muhaya TV.

Dalam petikan yang tular itu, Dr Muhaya menyatakan kedudukan lelaki masih sebagai ketua dan imam bagi seorang wanita walau jawatan seseorang wanita itu lebih tinggi.

Katanya, wanita perlu meraikan kepimpinan lelaki dan tidak terlalu sibuk mahu berdiri sama tinggi dengan lelaki dan terlalu mahu berdikari kerana boleh mengakibatkan lambat dapat jodoh.

“Orang lelaki suka wanita lemah lembut, yang mengharapkan, suka ditolong. Biarlah macam bodoh-bodoh sikit,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here