Ceroboh ruang udara: Malaysia panggil Duta China beri penjelasan

0
225
Pesawat tentera udara China yang dikesan menceroboh ruang udara negara semalam

CYBERJAYA – Kerajaan akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat tentera udara negara itu ke dalam ruang udara Malaysia di atas Zon Maritim Malaysia (ZMM) semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementeriannya juga akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik atas pencerobohan itu kepada China.

“Di samping itu, saya juga akan menyampaikan kegusaran serius Malaysia mengenai perkara ini kepada rakan sejawat saya di China.

“Pendirian Malaysia sangat jelas, mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak sekali kali bermaksud bahawa kita akan kompromi tentang keselamatan negara kita. Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan penerbangan mencurigakan melibatkan 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF).

Hishammuddin Tun Hussein

Menurut TUDM, kesemua pesawat itu dikesan memasuki ruang udara ZMM Kota Kinabalu Flight Information Region pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pesawat-pesawat tersebut dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dalam formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here