China dakwa pesawat tentera mereka tidak ceroboh ruang udara Malaysia

0
384
TUDM mengesan 16 pesawat tentera udara China memasuki ruang udara Malaysia semalam

CYBERJAYA – China mendakwa kehadiran pesawat tentera negara itu di ruang udara Malaysia ialah satu latihan dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Menurut jurucakap Kedutaan China di Malaysia, pesawat tentera itu tidak memasuki ruang udara Malaysia ketika latihan itu dilakukan.

“Sepanjang pengetahuan saya, aktiviti penerbangan pesawat itu adalan rutin penerbangan biasa dan tidak menyasarkan mana-mana negara.

“Berdasarkan undang-undang antarabangsa, pesawat tentera China itu berhak untuk terbang secara bebas di ruang udara berkenaan,” katanya memetik laporan The News Straits Time hari ini.

Semalam, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan penerbangan mencurigakan melibatkan 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF).

Menurut TUDM, kesemua pesawat itu dikesan memasuki ruang udara ZMM Kota Kinabalu Flight Information Region pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pesawat-pesawat tersebut dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dalam formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.

Susulan itu, kerajaan melalui Kementerian Luar akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat tentera udara negara itu ke dalam ruang udara Malaysia di atas Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementeriannya juga akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik atas pencerobohan itu kepada China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here