
BUDAPEST – Nilai pasaran Coca-Cola mengalami kerugian AS$4 bilion (RM16.4 bilion) selepas tindakan Cristiano Ronaldo pada sidang media semalam.
Legenda Portugal dan bintang Juventus itu, menasihatkan orang ramai mengambil minuman air kosong ketika berdepan dengan media semalam.
Sebelum sidang media bermula, pemain itu mengetepikan dua botol Coke di atas mejanya pada sidang media menjelang pertemuan dengan Hungary.
Susulan perkara berkenaan, harga saham Coca-Cola jatuh merundum daripada AS$56.10 (RM231) kepada AS$55.22 (RM227.39 sen).
Coca-Cola sudah mengeluarkan kenyataan bagi membalas tindakan Ronaldo apabila menyatakan setiap orang mempunyai hak untuk memilih minuman mereka.
Jurucakap minuman itu memaklumkan pemain diberikan air kosong bersama Coca-Cola dan Coca-Cola tanpa gula apabila tiba di sidang media.
Ronaldo sememangnya mengamalkan diet yang ketat dan mengelak daripada mengambil terlalu banyak gula untuk mengekalkan fizikalnya.
Ketika syarikat minuman itu berusaha menyelamatkan imej mereka, Ronaldo memberi reaksi seperti biasa di atas padang apabila mempamer aksi cemerlang ketika bertemu Hungary dengan menjaringkan dua gol lewat ketika mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Hungary hari ini.