Covid-19: 3 kes kematian libatkan kanak-kanak bawah 5 tahun dilaporkan tahun ini

0
20
Gambar hiasan

CVYBERJAYA – Sebanyak tiga kes kematian Covid-19 melibatkan kanak-kanak di bawah lima tahun dilaporkan sepanjang tempoh lima bulan pertama di Malaysia pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu sangat membimbangkan kerana jumlah yang sama dicatatkan sepanjang tahun lalu.

“Yang lebih dikhuatiri, bilangan kematian yang sama telah direkodkan dalam tempoh yang lebih singkat pada tahun 2021 iaitu tiga kematian dalam lima bulan pertama tahun 2021.

“Selain itu, kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pada tahun lalu jumlah keseluruhan kes pediatrik yang menerima rawatan di ICU adalah sebanyak lapan kes di mana enam enam daripadanya berumur bawah lima tahun.

Bagaimanapun, katanya, bagi tahun ini sehingga Mei lalu, sebanyak 27 kes kanak-kanak memerlukan rawatan di ICU dan daripada jumlah itu, 19 kes adalah kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru semua pihak untuk mengambil berat situasi yang serius ini. Kanak-kanak adalah kumpulan yang perlu dilindungi.

“Masyarakat terutamanya ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan penting bagi melindungi mereka yang mempunyai imuniti yang rendah seperti bayi dan kanak-kanak agar terhindar dari virus Covid-19.

“Binalah persekitaran yang selamat bagi mereka dengan mematuhi sepenuhnya semua prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan segeralah dapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here