
JAKARTA – Jumlah kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 di Indonesia dilaporkan naik tiga kali ganda sejak Mei lalu.
Menurut Pengarah Persatuan Paediatrik Indonesia, Dr. Aman Pulungan, angka kematian dalam golongan itu turut bertambah kepada 24 pada minggu ini, berbanding 13 minggu lalu, dengan majoriti daripadanya berusia di bawah 5 tahun.
“Jumlah kanak-kanak yang dijangkiti sedang meningkat. Pada pertengahan Mei, angka jangkitan berada di sekitar 2,000 hingga 2,500.
“Pada minggu lepas, terdapat lebih daripada 6,000 kes jangkitan (pada kanak-kanak dilaporkan),” kata Aman kepada Reuters, hari ini.
Indonesia kini sedang dilanda gelombang jangkitan baharu, dengan angka jangkitan harian pada hari ini mencecah 21,807 kes.
Peratusan kes yang melibatkan golongan bawah 18 tahun menaik kepada 12.6 peratus pada Jun, berbanding hanya 5 peratus pada Julai lepas.
Aman berkata, kenaikan angka jangkitan dalam kanak-kanak berkemungkinan besar disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dalam kalangan penjaga dan ibu bapa, dan ‘keletihan akibat pandemik’.
“Ia bukan disebabkan varian Delta, tetapi disebabkan oleh sistem.
“Kesedaran masih kurang, kerana masih ramai yang tidak percaya bahawa kanak-kanak turut menderita dan boleh maut akibat Covid-19,” tambah Aman lagi.