Covid-19: Angka kes kritikal, kematian dalam negara libatkan kanak-kanak bawah 5 tahun meningkat

0
137
DR. NOOR HISHAM

CYBERJAYA – Terdapat pertambahan angka kes kritikal dan kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 5 tahun pada tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, pada tahun lepas, hanya 3 kematian direkodkan pada sepanjang tahun lepas, manakala bagi tahun ini, 3 kematian melibatkan golongan umur itu direkodkan setakat Mei lepas.

“Selain daripada itu, jumlah kanak-kanak yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) turut menunjukkan pertambahan.

“Pada tahun lepas, sebanyak 8 kanak-kanak dimasukkan ke ICU yang mana 6 daripadanya berusia bawah 5 tahun.

“(Namun) Pada tahun ini, setakat Mei lepas, sebanyak 27 kes (melibatkan kanak-kanak) terpaksa dirawat di ICU yang mana 19 daripadanya berusia bawah 5 tahun,” kata Dr. Noor Hisham dalam satu kenyataan, hari ini.

Oleh yang demikian, Dr. Noor Hisham menasihatkan golongan ibu bapa dan penjaga supaya memainkan peranan yang lebih berkesan bagi melindungi kumpulan umur ini.

“Adalah penting bagi ibu bapa dan penjaga melindungi golongan ini kerana mereka mempunyai daya tahan imuniti yang belum cukup kuat (untuk melawan Covid-19).”

Dr. Noor Hisham turut menggalakkan orang ramai supaya mewujudkan persekitaran yang sihat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan mendapatkan suntikan vaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here